Friday, April 29, 2011

Misi Skuad KAWAN dan KL Menjerit

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini sayyidul ayyam, hari Jumaat yang penuh berkat. Alhamdulillah sehingga saat ini saya masih bernafas dengan izin Allah. Hari ini saya tidak ambil upah menjaga booth Pelima Media di Pesta Buku (insyaAllah dengan izinNya saya akan kongsikan tentang pengalaman saya menjaga booth di Pesta Buku Antarabangsa dalam entri akan datang ya~). Sengaja saya 'bercuti' pada hari ini kerana saya sangat mahu menyertai misi gempur Skuad KAWAN. Sanggup tu~


KAWAN


Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN) adalah NGO yang ditubuhkan di bawah Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Fokus utama KAWAN adalah untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada rakyat khususnya mengenai kebejatan sosial yang semakin membarah. Skopnya sebenarnya sangat luas, jadi tak mampu untuk saya terang satu persatu di sini. InsyaAllah ada masa saya wujudkan entri khas mengenai KAWAN ^^.


Misi gempur Skuad KAWAN Bangi

Mengikut perancangan dan setelah dibincangkan dalam mesyuarat dua malam yang lepas (saya tidak hadir mesyuarat tersebut), hari ini kami adakan gempur KAWAN di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Matlamat utama adalah untuk memperkenalkan KAWAN. Janji untuk gempur adalah selepas solat Jumaat.

Pendek cerita, empat orang termasuk saya turun untuk misi ini: Saya, Azmawati, Sarah dan Zul. Kasihan Zul. Dia pun tak sangka dia satu-satunya muslimin. Yang lebih mantap, dia ambil cuti full day semata-mata untuk turun gempur. Memang salute dengan mamat seorang ni. Azuwan pula masih di Kolej Ibu Zain, UKM Bangi. Aduhai, lucu sungguh adik seorang ni.

Pada mulanya, kami memang perasan air muka Zul berubah. Mungkin sedikit kecewa dengan kehadiran anggota Skuad. Oh ya, Zul ini Pengerusi Skuad KAWAN Bangi. Kami berempat bermesyuarat sekejap untuk membahagikan risalah untuk diedar. Barulah kami sedar yang pamplet yang penting dan mengandungi semua maklumat KAWAN tidak ada pada kami, tetapi pada Faiz. Faiz pula tidak dapat menyertai misi gempur. Cuma risalah artikel pendek sahaja yang ada. Muka Zul semakin berubah. Nampak seperti hampir putus asa. Tapi kemudian kami putuskan untuk teruskan sahaja mengedar 1000 risalah yang ada.

Alhamdulillah, tak sukar untuk habiskan mengedar risalah kepada pengunjung yang sangat ramai. Kami tak perlu pun meronda ke seluruh PWTC seperti yang kami sangka sebelum ini. Kami berempat pun berjaya menyelesaikan misi dengan hati yang lapang dan tidak lagi dengan rasa kecewa. Sebenarnya, kami Skuad KAWAN ini masih terlalu baru. Aktiviti pun belum banyak, anggota pun belum ramai. Masih terkontang-kanting. Idea untuk misi gempur ini pun cuma idea ad hoc yang dilontarkan untuk memecah kekakuan gerak kerja Skuad selepas program pertama kami, Sehari Bersama KAWAN sekitar Mac lalu. Memang perit juga permulaan kami. Semoga Allah permudahkan urusan kami untuk gerak kerja akan datang, insyaAllah.


KL menjerit atau saya menjerit?

Selesai misi di PWTC, saya terus beransur. Saya teringat yang saya perlu ke Masjid India sebentar. Ain mengirim dua helai tudung untuk dihadiahkan kepada adiknya, Hasanah. Semasa saya keluar, jalan sudah pun sesak. KL, biasalah.

Mulanya saya mahu pulang ke kolej, tinggalkan motor dan naik bas sahaja kerana saya tidak tahu mahu letak motor di mana. Biasanya memang saya akan naik bas sahaja. Tetapi memandangkan hari sudah agak lewat petang dan jalan pula memang tersangat sesak, saya pun bertaruh nasib untuk pergi dengan motor sahaja. Dalam keadaan jalan sesak yang amat, terlencong pula entah ke mana-mana, saya hampir saja putus asa. Saya sudah merangka-rangka ayat untuk dibuat alasan kepada Ain. Tetapi saya sudah berjanji. Hampir sejam agaknya, saya pusing-pusing di jalan yang tidak begitu saya kenali, menyelit di celah-celah kereta. Huhhh.... letih! Akhirnya, saya pusing menghala ke Jalan Raja Laut dari arah Jalan TAR. Alhamdulillah, ada parking kosong di Medan MARA.

Selesai urusan, saya bersegera untuk pulang. Perut sudah berkeroncong, seharian belum lagi makan. Tapi kesesakan lebih teruk berbanding tadi. KL adalah tempat yang paling stress untuk saya tunggang motor. Bas yang banyak dan tiada tolak ansur, kereta-kereta mewah yang menyombong dengan penunggang motor wanita dan motor-motor yang laju menyelit di celah-celah kereta. Semuanya seolah-olah memaksa saya. Bukan saya tidak biasa menyelit, tapi di KL menyelit sangat memberi tekanan. Dahi berkerut seribu, tangan kadang-kadang terkejang, fikiran pula tertekan. Manalah saya tak cepat tua jika begini. Cepatlah, saya tidak sabar mahu keluar dari KL. Silap-silap, bukan KL yang menjerit, tapi sayalah yang menjerit!

Thursday, April 28, 2011

Saya takut kahwin. Boleh tak? Huhu~

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini saya mahu coretkan sesuatu mengenai perkahwinan. Sesuatu yang suka dibincangkan oleh kebanyakan orang muda seperti saya, yang kebiasaannya berbincang secara santai sambil berimaginasi indah dan membahagiakan. Namun, ada suatu sudut tentang perkahwinan yang selalu membuat saya takut. Takut untuk menghadapi perkahwinan. Hurmmm.....


Perkahwinan = Institusi

Berkahwin bukan sekadar untuk mengekpresi cinta secara halal sepasang kekasih. Berkahwin bukan sekadar hidup berdua. Berkahwin bakal melibatkan individu lain, khususnya cahaya mata hasil perkongsian hidup. Berkahwin bererti membina keluarga. Membina keluarga pula perlulah dengan penuh tanggungjawab. Institusi kekeluargaan. Ayat yang biasa kita dengar, bukan?

Mengapa 'institusi'? Pada saya, perkataan institusi menggambarkan sesuatu yang besar dan gah, yang melibatkan suatu struktur, organisasi dan pengurusan sendiri, dengan tujuan tertentu. Seperti institusi pengajian tinggi atau institusi akademik dan penyelidikan dan yang sewaktu dengannya. Institusi-institusi seumpama ini biasanya amat penting dan mempunyai peranan tersendiri dalam sesebuah masyarakat dan negara. Sesebuah institusi harus ada lembaga pentadbir dan pengurusnya yang melibatkan sekumpulan orang dalam organisasi. Tetapi asas untuk sesebuah institusi kekeluargaan cuma dua orang: suami dan isteri. Merekalah pentadbir dan pengurus rumahtangga masing-masing.

Lalu, istilah 'institusi kekeluargaan' itu sepatutnya dapat memberi gambaran terhadap kepentingan peranan keluarga terhadap masyarakat. Semasa awal diperkenalkan dengan jemaah pun ada diterangkan, yang sesebuah negara Islam itu hanya mampu dibina dengan adanya komuniti masyarakat Muslim. Komuniti masyarakat Muslim pula wujud hasil kombinasi keluarga-keluarga Muslim. Keluarga Muslim pula dibentuk daripada para individu Muslim. Lihatlah betapa pentingnya peranan keluarga terhadap sesebuah negara.

[Individu Muslim > Keluarga Muslim > Masyarakat Muslim > Negara Islam]


Institusi yang porak-peranda

Namun, yang menjadi kebimbangan pada hari ini adalah berleluasanya kehancuran institusi penting ini. Hari ini saya terbaca tentang kadar perceraian di Malaysia yang sangat membimbangkan: purata 4 kes cerai setiap jam! (Rujuk sumber) Bermakna setiap 15 minit ada pasangan yang bercerai. Tidak banyakkah angka itu?

Saya membuat berbagai-bagai andaian mengenai punca perceraian. Terlalu banyak kisah yang sampai di pengetahuan saya. Ada yang diceritakan, ada yang dibaca, ada yang saya saksikan sendiri. Masalah kewangan antara yang banyak menjadi punca. Saya teringat subjek Isu-isu Kekeluargaan yang saya ambil semasa di tahun akhir dulu. Pensyarah saya memang menekankan mengenai masalah ini, sama ada kerana gaji yang tidak banyak, mahupun kerana selera berbelanja yang tinggi melampaui keperluan dan kemampuan.

'Ter'jumpa semula bekas kekasih lama pun sudah biasa terjadi. Cuma, edisi modennya adalah melalui Facebook. Ini menguatkan lagi keyakinan saya bahawa berpacaran (couple) sebelum nikah bukan sahaja tiada jaminan akan berpanjangan ke jinjang pelamin, tetapi boleh menjadi senjata pemusnah pada masa depan. Lebih parah jika perkenalan melalui Facebook atau medium lain di alam maya memutik cinta lalu menghancurkan rumahtangga sedia ada. Menyedihkan. Sadis.

Antara faktor lain yang menarik perhatian saya adalah perceraian disebabkan orang ketiga, yang mana titik mulanya adalah dalam program motivasi. Pelik bukan? Saya terbaca mengenai isu ini dalam sebuah artikel majalah Solusi isu #30, tajuknya Motivasi Dosa. Memang sentap. Isinya, banyak program motivasi, bina semangat, kerja kumpulan, kepimpinan dan yang sewaktu dengannya menggunakan modul yang diselitkan dengan unsur maksiat. Contohnya acara outdoor seperti rentas hutan, berkayak, memanjat bukit, bahkan acara kebudayaan seperti pentomen, drama dan tarian yang bercampur aduk pergaulan lelaki dan perempuan tanpa ada batasan. Memang ada kes perceraian yang berpunca daripada hal ini. Ini belum lagi mengenai pengabaian tanggungjawab, penderaan dan sebagainya. Fuhhhh~


Ya, saya takut

Takut dan bimbang. Entah bagaimana masa hadapan rumahtangga saya (walhal saya belum pun berumahtangga. Huhu~). Sering saya mendengar keluhan teman-teman yang bukan ahli jemaah mengenai betapa sukarnya mencari lelaki yang baik di zaman ini. Bahkan selalu saya dengar,

"Ada ke lagi lelaki yang baik?".

Oh, sampai begitu sekali. Selalu saya jawab dengan penuh yakin,

"Ada. Pasti ada."

Tetapi dalam hati sendiri turut rasa ragu. Sedangkan muslimin jemaah pun terlalu sedikit bilangan jika dinisbahkan dengan bilangan muslimat. Dan tak sedikit juga muslimat yang pada saya cukup serba serbi (jauh lebih baik dari saya, sudah tentu) tetapi masih belum punya calon sedang umur semakin bertambah. Semoga Allah permudahkan jodoh mereka semua dan ditemukan lelaki terbaik.

[Ahah, nampak seperti berat sebelah pula. Maaf, bukan meletakkan punca perceraian kepada lelaki. Saya cuma berkongsi situasi. Saya akui, banyak juga kes isteri yang curang (=.=')]

Saya sangat-sangat bersyukur dan bahagia dengan keluarga saya sekarang. Saya kagum dengan Umi dan Abah saya yang saling menjadi penguat antara satu sama lain walau bermacam-macam ujian dan dugaan datang. Saya kagum melihat setianya Umi mengurus dan menemani Abah, serta kasih dan prihatinnya Abah kepada Umi. Selalu Umi memuji Abah di hadapan saya, dan saya juga selalu mendengar pujian Abah terhadap Umi. Mungkin kerana ini, membuat saya lebih takut. Kerana saya sendiri belum pasti, lelaki bagaimana yang bakal menjadi suami. Sedang hati mengharap yang seperti Abah walau diri masih tak pasti mampu menjadi sebaik Umi.

Walau bagaimanapun, saya sedar. Saya sedar saya tak boleh terlalu memilih. Saya sedar saya juga punya banyak kelemahan. Dan yang utama, saya sedar semuanya dalam ketetapan Allah. Tugas saya hanya tidak putus memohon yang terbaik, dan meletakkan sepenuh pergantungan dan pengharapan kepada Allah. Saya berserah, dan saya bertawakal kepada Allah :)

Wallahua'lam

P/S: Saya terbaca satu artikel mengenai Suami Muslim yang Ideal. Sejuk hati membacanya =P Walaupun artikel tersebut memfokuskan suami, tetapi ada juga beberapa aspek yang boleh diaplikasi sebagai isteri. Renung-renungkan dan selamat beramal =)

Monday, April 25, 2011

Rehlah: Melakar Kenangan di Sungai Congkak

Bismillahirrahmanirrahim


Selepas berhempas-pulas selama 2 minggu untuk peperiksaan akhir semester, hari ini saya bersama teman-teman sekuliah MCN (Masters in Community Nutrition) pergi melepaskan tekanan di Sungai Congkak. Alhamdulillah, sangat seronok. Hari ini hari Isnin. Jadi antara perkara yang paling seronok adalah, hanya kami yang berada di kawasan itu. Puas juga mandi sungai. Selalunya saya jarang untuk turut serta acara main air di tempat umum. Tapi, dek kerana tiada siapa di situ melainkan kami, maka dengan riang rianya kami bermain air sepuas-puasnya.

Kami bersebelas yang berehlah adalah: saya, Kak
Ana, Kak Wirdah, Kak Syam, Kak Lela dan anaknya Hilmi, Ang, Dora, Fiza, Shima (Iran) dan Maria (Iran). Ini juga faktor lain saya gembira. Sebab semuanya perempuan, jadi pergerakan kami tidak begitu terbatas. Hehe~ Empat orang tiada bersama kami kerana pulang ke rumah masing-masing iaitu: Tan, Habib, See Ling dan Lee Lee. Oh ya. Hari ini juga ulangtahun kelahiran Dora Liyana Abdul Latap yang ke-25. Semoga dipanjangkan umur Dora dalam kebaikan sentiasa, insyaAllah =)

Kami masing-masing membawa makanan, dengan menu utama adalah masakan Iran yang disediakan oleh Shima dan Maria. Sampai demam-demam si Maria =P

Ini masakan Iran yang disediakan untuk kami: Ghorme Sabzi (daging), Zereshk Polo (nasi), Morgh (ayam), Mastokhiar (yogurt timun dan mint) dan salad sayur. Nasinya sedap! Nasi ini daripada beras Basmathi dengan sebahagiannya berwarna kuning kerana dimasak bersama za'faran (saffron) dan ditabur kismis. Mahal tu, saffron. Terima kasih banyak-banyak Maria dan Shima untuk semua makanan tersebut. Licin juga saya makan. Hehe....


Yummayhhh fruit tart oleh Kak Ana =)

Mastokhiar

Zereshk Polo dengan Morgh

Ghorme Sabzi

Walaupun semester ini bukan semester penghabisan, tetapi semester depan kami mungkin tak dapat bertemu lagi sebab masing-masing akan sibuk menyiapkan tesis kajian di kawasan masing-masing. Saya dah mula rindu pada sesi perkuliahan yang padat, tugasan yang berderet serta pembentangan pada setiap minggu. Bukan rindukan kesibukannya, tapi lebih kepada rindu menghadapi semua kesibukan itu bersama-sama teman-teman. Huhu~

Dalam pada gembira tu, sebenarnya kami tetap sedang keresahan. Resah menghadapi pembentangan proposal 2 minggu lagi + resah menanti keputusan peperiksaan yang lepas. Huhuhu~

Rabbana yassir wala tu'assir

Saturday, April 23, 2011

Ekspresi: Saya berblog semula.

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, hari ini tanggal 23 September 2011 saya secara rasminya mempunyai blog semula.

Semula? Ya, semula. Sebelum ini saya dah pernah mempunyai blog. Kira-kira tiga tahun lepas, sekitar penghujung tahun 2008. Ketika itu saya masih menuntut dalam tahun akhir. Ketika itu, isu blog saya lebih kepada isu-isu semasa dan kemahasiswaan. Biasalah, semangat mahasiswa tu lebih sikit. Hehe. Masa itu, saya tinggal di kolej kediaman. Wi-fi percuma di kolej-kolej kediaman agak baru diperkenalkan untuk mahasiswa pada ketika itu. Jadi, medium blog memang agak popular di kalangan mahasiswa, sama ada blog peribadi mahupun blog persatuan mahasiswa dan gerakan aktivis mahasiswa. Blog menjadi medium informasi atas talian yang popular.

Tapi itu dulu. Selepas peperiksaan akhir semester tersebut, saya berpindah ke rumah sewa. Satu semester seterusnya saya akan duduk menyewa bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Pada masa inilah blog saya mula terkubur. Kerana saya mula kurang mengakses internet. Kononnya juga semakin sibuk. Konon je =P

Tapi kebelakangan ini saya mula terfikir untuk berblog semula. Sebab, saya mahu mengekspresi diri saya dalam bentuk tulisan. Tak mengapalah kalau tiada pembaca pun, yang penting saya puas kerana dapat melontar pandangan dan isi hati =)

Facebook? Facebook memang satu fenomena sekarang. Saya pun ada akaun Facebook. Tetapi saya rasa Facebook tidak begitu sesuai untuk mengekspresikan minda. Terhad. Hmmm....

Saya berharap saya akan mampu membuat entri-entri yang bermanfaat setiap ekspresi saya. Dan saya harap saya dapat istiqamah berblog. InsyaAllah~

Terinspirasi dari buku Diari Mat Despatch, saya akan cuba menggunakan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi secara maksimum dalam penulisan saya, kerana bahasa jiwa bangsa =)