Friday, May 13, 2011

Hujung minggu bersama keluarga ^_^

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kepada Tuan Empunya segala isi dunia atas nikmat-nikmat yang tak terhitung banyaknya. Pagi tadi, saya telah menyelesaikan pembentangan cadangan kajian untuk projek program siswazah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan izin Allah. Sebelum saya sambung entri mengenai PBAKL (dah berapa minggu berlalu daaaa~), entri kali ini saya mahu titipkan sedikit mengenai hujung minggu saya yang lepas (huh? dah nak masuk hujung minggu satu lagi pun =.=')

Hujung minggu yang lalu, selepas tak tertahan lagi menanggung stress terperap seorang diri di hostel selama seminggu, saya pun membuat keputusan untuk melepaskan segala kebuntuan dan keserabutan dengan pulang menghadap wajah Umi, Abah dan adik-adik. Alhamdulillah, hujung minggu yang sangat bermakna.

Pertama kali dalam hidup, Abah bagi lampu hijau untuk pandu kereta jauh-jauh secara solo. Selama ni, jarak pemanduan saya cuma terhad di sekitar Klang sahaja (menggunakan Kelisa di rumah). Sebelum ini saya pernah beberapa kali memandu untuk jarak jauh (shhhh~ rahsia!) tetapi belum pernah lagi secara solo. Pukul 6.40 pagi saya dah bertolak ke Bangi untuk menghadiri kelas Tahsin Al-Quran anjuran Nisa' Serdang. Alhamdulillah, tiada masalah dalam perjalanan dan saya berjaya meyakinkan Umi dan Abah bahawa saya mampu memandu sendiri untuk jarak jauh. 7.30 pagi saya tiba di Bandar Baru Bangi.

Kelas pengenalan Tahsin Quran dimulakan oleh Ustazah Nawiyah. Banyak ibrah yang boleh diambil daripada pengalaman beliau. Antara kata-kata beliau yang cukup terkesan adalah kata-kata beliau bahawa sesungguhnya Allah telah menjanjikan rezeki kepada hambaNya (telah tertulis di Luh Mahfuz) tetapi Iman itu tidak dijamin oleh Allah, sedang manusia hanya sibuk mencari rezeki tetapi tidak mahu mencari Iman, terus-terusan bekerja tanpa mahu sibuk mengenal Tuhan. Allahuakbar! Betapa lalainya manusia daripada mengingati Allah dalam kesibukan duniawi.

Selain itu, saya dapat buat kesimpulan daripada pengalaman Ustazah, bahawa jodoh seorang wanita itu tak semestinya lelaki yang mempunyai tahap kefahaman Islam yang sama, walaupun hakikatnya seorang muslimah pasti mengharapkan suami yang lebih hebat ilmunya berbanding dirinya sendiri kerana peranan suami sebagai pembimbing isteri. Contohnya Ustazah sendiri, yang merupakan lulusan bidang agama dan mengajar ilmu agama pula, berjodoh dengan seorang lelaki daripada bidang sains, tetapi kurang sedikit ilmu agamanya. Ustazah sendiri yang membimbing suaminya. Asal sahaja kena pada gayanya, insyaAllah pasti boleh =)

Selesai kelas Tahsin, saya ke rumah Kak Sarah bersama-sama Aisyah untuk menziarahi beliau yang baru menjalani pembedahan membuang keempat-empat gigi bongsunya. Kemudian saya terus memandu pulang ke Klang dan tiba sekitar pukul 1.50 petang.

Malam itu, kami adik beradik (khususnya saya, Tiyah dan Along) merancang membuat kejutan kepada Umi dan Abah. Kami merancang untuk belanja mereka makan di luar bersempena Hari Ibu dan juga ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-28. Jauh juga makan malam kami pada malam itu, sampai ke Pulau Indah. Kami ke Muara Ikan Bakar yang tempatnya berhampiran jeti. Alhamdulillah sangat berpuas hati dengan harga yang agak murah untuk hidangan makanan laut segar seperti ikan pari, ikan siakap dan udang. Kami pulang dengan perut 'ke hadapan'. Muara Ikan Bakar sesungguhnya telah menawan hati kami sekeluarga. Cuma tempatnya yang agak jauh, jadi mungkin tak dapat kami ke sana selalu. Huhuhu~

Tetapi yang lebih terkesan di hati saya adalah kata-kata nasihat ibu saya mengenai jodoh dan perkahwinan (hai, asyik sahaja tentang jodoh. Huhu~). Biasalah ibu, sampai usia macam saya ni, selalu sahaja ditanya hal ini. Walaupun sebolehnya saya cuba elak, tapi kadang-kadang seronok juga mendengar nasihat orang yang lebih dulu makan garam.

Umi mengulas beberapa masalah rumahtangga yang biasa berlaku. Saya katakan, saya takut mahu berumahtangga. Lalu dengan penuh kelembutan dan tutur kata yang tersusun, Umi menghilangkan kegusaran hati saya selama ini. Kata Umi, bernikah ini akan membantu menyelesaikan banyak masalah yang tak akan mampu diselesaikan secara berseorangan. Memang, bernikah mungkin berisiko untuk mempunyai masalah dengan pasangan dan keluarga, tetapi kalau terus membujang tak bermakna tidak akan ada masalah. Kerana memang lumrah hidup manusia akan selalu didatangi masalah. Kita tak akan dapat lari daripada dugaan yang menguji diri. Tetapi berpeganglah dengan firman Allah bahawa Allah sekali-kali tidak akan menguji hambaNya sesuatu yang tidak mampu untuk dipikul oleh hambaNya itu. Allahuakbar. Seperti disiram air telaga yang sejuk, hati saya menjadi tenteram dengan pesan Umi.

Saya lanjutkan persoalan. Kata orang, perkahwinan adalah perjudian. Hampir sahaja saya beriman dengan ayat ini. Lalu Umi menafikan. Kata Umi, kalau sebelum bernikah kedua-dua bakal suami isteri telah mempersiapkan diri dengan ilmu khususnya ilmu agama, mana mungkin jadi perjudian. Setiap tindak-tanduk dan keputusan sepanjang hidup bersama harus didasari ilmu, barulah teratur hidup berkeluarga.

Terima kasih Umi kerana menjawab segala persoalan yang menyempitkan fikiran saya selama ini. Kalau tidak kerana aktiviti berbual-bual semasa di dapur, mungkin saya masih lagi dengan fikiran sempit saya itu. Sungguh, tak rugi berbincang topik ini dengan Umi. Baru saya sedar, masih banyak khazanah ilmu kehidupan yang belum saya pelajari daripada Umi. Umi, tetap menjadi guru nombor satu di hati saya, selama-lamanya InsyaAllah. Saya saaaayang Umi =]

Thursday, May 5, 2011

Saya, PBAKL '11 & Ibrah

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah beberapa hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 melabuhkan tirai, baru saya buat entri ini. Hehe... Sebenarnya saya tangguhkan coretan ekspresi saya mengenai pengalaman di PBAKL '11 ni kerana mahu fokus menyiapkan proposal penyelidikan yang perlu dibentangkan pada 9 Mei ini. Tetapi oleh sebab saya dah terlalu pening memikirkan proposal, saya fikir elok juga saya rehatkan otak saya sekejap. Heeee =D

Alhamdulillah, tahun ini masih diberi kesempatan oleh Allah untuk mengunjungi acara yang sangat mengujakan saya. Sejak tahun 2005 (saya baru tamat SPM ketika itu) sehingga sekarang, rasanya mungkin cuma sekali atau dua kali sahaja saya terlepas peluang untuk pergi. Dan kebiasaannya saya akan pergi untuk sekurang-kurangnya dua kali. Sekali untuk survey, sekali untuk memborong. Hehe... Selain itu, waktu ini biasanya saya merancang mini reunion dengan teman-teman SMKA Kuala Selangor.

Tetapi yang paling menarik pada PBAKL pada tahun ini adalah kerana saya bukan setakat pergi 2 kali, tetapi 6 kali! Haha~ Memang teruja habis ni. Kali ini, saya pergi bukan semata-mata sebagai pengunjung dan pemborong buku, tetapi saya juga berpeluang menimba pengalaman menjadi petugas sambilan menjaga booth Pelima Media Sdn Bhd selama 5 daripada 10 hari. Walaupun cuma 5 hari, tapi cukup banyak pengalaman yang diperoleh serta ibrah yang boleh saya ambil.

Antara yang menarik adalah saya dapat ramai kenalan baru khususnya daripada kalangan staf dan petugas Pelima Media sendiri. Daripada Encik Rashidi sekeluarga, Kak Ina, Kak Nadiah dan suaminya Abang Juan, Haziq dan Farihah Rashidi yang baru tamat SPM, Kak Syuhada, Kak Wani, Fatimah Rashidi, Sahlan, Iqbal dan Muaz. Semuanya baik-baik belaka. Rasanya sangat bertuah dapat berkenalan dan bekerja dengan mereka. Tak banyak, sedikit dapat juga saya fahami sesuatu mengenai perniagaan dan penerbitan buku. Perkenalan dengan mereka, khususnya Kak Ina dan Kak Nadiah menguatkan lagi cita-cita saya untuk mempunyai sebuah kedai buku satu hari nanti. Ya, sebelum ini memang saya pernah bercita-cita untuk mengedar dan menjual buku. Kalau dapat jadi penerbit, itu lebih lagi terbaik! =D

Antara acara dan aktiviti anjuran Pelima Media semasa di PBAKL '11 yang lalu adalah pelancaran buku Dr. Afifi Al-Akiti, Raja Mukhlis dan Ustaz Fauwaz Fadzil Noor yang kemudian diikuti dengan Gig Selawat oleh kumpulan Al-Mawlid. Mereka akan berselawat dan berqasidah, bermula di pentas utama, kemudian diteruskan di booth Pelima Media selama lebih kurang 1-2 jam. Siapa Al-Mawlid? Anggota Al-Mawlid terdiri daripada bekas anggota kumpulan Ruffedge dan V.E seperti Amer Munawer, Lah, Zaf, Azan dan Pot. Melihat mereka secara dekat, ada ibrah yang saya dapat. Wajah mereka sungguh bersih dan bercahaya, biasan hidayah Allah. Terdetik di hati saya, siapa kita untuk menilai seseorang individu yang mungkin hari ini dia lalai, tetapi Allah mungkin memilihnya esok lusa untuk diberikan hidayah lalu menjadi hamba bertaqwa. Sungguh tak layak untuk kita nilaikan seseorang berdasarkan masa lalunya sedang Allah lebih mengetahui hatinya. Cemburu saya melihat wajah mereka. Apakah saya masih dalam rahmat Allah atau bagaimana? Allah, tetapkanlah aku agar sentiasa dalam rahmatMu~

*Panjang pula entri ni, rasanya banyak lagi nak diekspresikan. Hihi... Saya mahu sambung menyiapkan slide pembentangan proposal saya dahulu, ya!

*Tiada sambungan, harap maklum. Hehe~ =P

Tuesday, May 3, 2011

Kematian itu terasa begitu dekat~

Bismillahirrahmanirrahim

Nampaknya entri ini mendahului entri saya mengenai pengalaman bertugas sambilan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Entri ini tidak saya rancang, tetapi saya tergerak untuk menitipkan sesuatu selepas mendapat khabar kematian sebentar tadi.

Cuba bayangkan, anda seorang mahasiswa universiti. Dalam satu kuliah di awal semester, seorang pensyarah mengingatkan para penuntut supaya sentiasa bersedia kerana kuiz akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja, secara mengejut tanpa notis awal. Mungkin awal semester, tengah semester atau di hujung semester. Penuntut yang sejak awal semester sentiasa mengikuti kuliah, membuat ulangkaji dan menyiapkan semua tugasan dengan baik, pasti tidak menghadapi masalah semasa menjawab soalan kuiz mengejut tersebut. Bagi penuntut yang tidak bersedia sejak awal, dan bersikap sambil lewa terhadap kuliah sebelumnya, mahu menggelabah dan berpeluh-peluh dengan soalan kuiz itu.

Mungkin boleh saya analogikan kematian dengan situasi di atas. Sejauh mana kita bersedia menghadapi kematian sedangkan kematian itu tidak mengenal umur. Allahuakbar. Terasa diri penuh dengan dosa. Apakah cukup amal baikku sebagai pemberat timbangan di akhirat kelak? Ayuh muhasabah diri.

Tadi, semasa melayari Facebook, saya terbaca status Muhammad Arrabe' berkenaan laporan berita di TV9 mengenai seorang graduan UKM bernama Ratna mati ditikam kerana menolak pinangan seorang lelaki. Terus saya teringat kepada seseorang bernama Ratna yang saya kenali semasa di UKM dulu. Ratna yang saya kenali, mahasiswi jurusan Sains Nuklear. Kami berkenalan dalam program Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST). Kami bertambah akrab semasa mengendalikan Pameran Pesta Konvokesyen 2007. Saya sebagai Ketua Pengarah dan Ratna sebagai AJK di bawah saya. Beliau sangat baik, ramah, ringan tulang dan suka membantu. Ratna juga comel orangnya.

Saya membuat sedikit carian di Facebook dan terjumpa FB beliau. Sahih, Ratna yang saya kenal itu yang disebutkan dalam berita tersebut. Saya sedih dan terkejut. Saya masih boleh ingat suara dan wajahnya yang selalu tersenyum. Beberapa bulan kebelakangan, saya sering mendapat khabar kematian orang-orang yang masih muda, lebih kurang baya saya sahaja umur mereka. Dan setiap kali saya mendengar khabar begini, saya terasa kematian begitu dekat dengan saya. Boleh sahaja kematian itu tak perlu tunggu sehingga umur sudah tua. Cuma, sudahkah saya bersedia andai kematian menjemput saat usia masih muda? Benarlah, kematian itu perlu dirancang supaya bahagia sesudah mati. Dzikrul maut T_T

Al-Fatihah untuk almarhumah adik Ratna Sufizzah Riyanti Omar. Adik akan tetap dalam ingatan akak. Semoga roh adik tenteram di sana dan dicucuri rahmat Allah. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, insyaAllah.

P/S: Kes ini yang kedua yang pada pengetahuan saya melibatkan bekas penuntut UKM. Beberapa tahun dulu, (zaman Abang Habibullah - lebih kurang 3 tahun sebelum saya masuk UKM) juga ada kes seorang wanita yang baru bergraduasi mati ditikam kerana menolak lamaran seorang lelaki yang juga graduan UKM (kenalan Abang Habib). Kes begini memang menakutkan orang perempuan seperti saya. Lelaki macam ni memang psiko. Huhu~