Friday, April 29, 2011

Misi Skuad KAWAN dan KL Menjerit

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini sayyidul ayyam, hari Jumaat yang penuh berkat. Alhamdulillah sehingga saat ini saya masih bernafas dengan izin Allah. Hari ini saya tidak ambil upah menjaga booth Pelima Media di Pesta Buku (insyaAllah dengan izinNya saya akan kongsikan tentang pengalaman saya menjaga booth di Pesta Buku Antarabangsa dalam entri akan datang ya~). Sengaja saya 'bercuti' pada hari ini kerana saya sangat mahu menyertai misi gempur Skuad KAWAN. Sanggup tu~


KAWAN


Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN) adalah NGO yang ditubuhkan di bawah Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Fokus utama KAWAN adalah untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada rakyat khususnya mengenai kebejatan sosial yang semakin membarah. Skopnya sebenarnya sangat luas, jadi tak mampu untuk saya terang satu persatu di sini. InsyaAllah ada masa saya wujudkan entri khas mengenai KAWAN ^^.


Misi gempur Skuad KAWAN Bangi

Mengikut perancangan dan setelah dibincangkan dalam mesyuarat dua malam yang lepas (saya tidak hadir mesyuarat tersebut), hari ini kami adakan gempur KAWAN di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Matlamat utama adalah untuk memperkenalkan KAWAN. Janji untuk gempur adalah selepas solat Jumaat.

Pendek cerita, empat orang termasuk saya turun untuk misi ini: Saya, Azmawati, Sarah dan Zul. Kasihan Zul. Dia pun tak sangka dia satu-satunya muslimin. Yang lebih mantap, dia ambil cuti full day semata-mata untuk turun gempur. Memang salute dengan mamat seorang ni. Azuwan pula masih di Kolej Ibu Zain, UKM Bangi. Aduhai, lucu sungguh adik seorang ni.

Pada mulanya, kami memang perasan air muka Zul berubah. Mungkin sedikit kecewa dengan kehadiran anggota Skuad. Oh ya, Zul ini Pengerusi Skuad KAWAN Bangi. Kami berempat bermesyuarat sekejap untuk membahagikan risalah untuk diedar. Barulah kami sedar yang pamplet yang penting dan mengandungi semua maklumat KAWAN tidak ada pada kami, tetapi pada Faiz. Faiz pula tidak dapat menyertai misi gempur. Cuma risalah artikel pendek sahaja yang ada. Muka Zul semakin berubah. Nampak seperti hampir putus asa. Tapi kemudian kami putuskan untuk teruskan sahaja mengedar 1000 risalah yang ada.

Alhamdulillah, tak sukar untuk habiskan mengedar risalah kepada pengunjung yang sangat ramai. Kami tak perlu pun meronda ke seluruh PWTC seperti yang kami sangka sebelum ini. Kami berempat pun berjaya menyelesaikan misi dengan hati yang lapang dan tidak lagi dengan rasa kecewa. Sebenarnya, kami Skuad KAWAN ini masih terlalu baru. Aktiviti pun belum banyak, anggota pun belum ramai. Masih terkontang-kanting. Idea untuk misi gempur ini pun cuma idea ad hoc yang dilontarkan untuk memecah kekakuan gerak kerja Skuad selepas program pertama kami, Sehari Bersama KAWAN sekitar Mac lalu. Memang perit juga permulaan kami. Semoga Allah permudahkan urusan kami untuk gerak kerja akan datang, insyaAllah.


KL menjerit atau saya menjerit?

Selesai misi di PWTC, saya terus beransur. Saya teringat yang saya perlu ke Masjid India sebentar. Ain mengirim dua helai tudung untuk dihadiahkan kepada adiknya, Hasanah. Semasa saya keluar, jalan sudah pun sesak. KL, biasalah.

Mulanya saya mahu pulang ke kolej, tinggalkan motor dan naik bas sahaja kerana saya tidak tahu mahu letak motor di mana. Biasanya memang saya akan naik bas sahaja. Tetapi memandangkan hari sudah agak lewat petang dan jalan pula memang tersangat sesak, saya pun bertaruh nasib untuk pergi dengan motor sahaja. Dalam keadaan jalan sesak yang amat, terlencong pula entah ke mana-mana, saya hampir saja putus asa. Saya sudah merangka-rangka ayat untuk dibuat alasan kepada Ain. Tetapi saya sudah berjanji. Hampir sejam agaknya, saya pusing-pusing di jalan yang tidak begitu saya kenali, menyelit di celah-celah kereta. Huhhh.... letih! Akhirnya, saya pusing menghala ke Jalan Raja Laut dari arah Jalan TAR. Alhamdulillah, ada parking kosong di Medan MARA.

Selesai urusan, saya bersegera untuk pulang. Perut sudah berkeroncong, seharian belum lagi makan. Tapi kesesakan lebih teruk berbanding tadi. KL adalah tempat yang paling stress untuk saya tunggang motor. Bas yang banyak dan tiada tolak ansur, kereta-kereta mewah yang menyombong dengan penunggang motor wanita dan motor-motor yang laju menyelit di celah-celah kereta. Semuanya seolah-olah memaksa saya. Bukan saya tidak biasa menyelit, tapi di KL menyelit sangat memberi tekanan. Dahi berkerut seribu, tangan kadang-kadang terkejang, fikiran pula tertekan. Manalah saya tak cepat tua jika begini. Cepatlah, saya tidak sabar mahu keluar dari KL. Silap-silap, bukan KL yang menjerit, tapi sayalah yang menjerit!

No comments:

Post a Comment