Thursday, April 28, 2011

Saya takut kahwin. Boleh tak? Huhu~

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini saya mahu coretkan sesuatu mengenai perkahwinan. Sesuatu yang suka dibincangkan oleh kebanyakan orang muda seperti saya, yang kebiasaannya berbincang secara santai sambil berimaginasi indah dan membahagiakan. Namun, ada suatu sudut tentang perkahwinan yang selalu membuat saya takut. Takut untuk menghadapi perkahwinan. Hurmmm.....


Perkahwinan = Institusi

Berkahwin bukan sekadar untuk mengekpresi cinta secara halal sepasang kekasih. Berkahwin bukan sekadar hidup berdua. Berkahwin bakal melibatkan individu lain, khususnya cahaya mata hasil perkongsian hidup. Berkahwin bererti membina keluarga. Membina keluarga pula perlulah dengan penuh tanggungjawab. Institusi kekeluargaan. Ayat yang biasa kita dengar, bukan?

Mengapa 'institusi'? Pada saya, perkataan institusi menggambarkan sesuatu yang besar dan gah, yang melibatkan suatu struktur, organisasi dan pengurusan sendiri, dengan tujuan tertentu. Seperti institusi pengajian tinggi atau institusi akademik dan penyelidikan dan yang sewaktu dengannya. Institusi-institusi seumpama ini biasanya amat penting dan mempunyai peranan tersendiri dalam sesebuah masyarakat dan negara. Sesebuah institusi harus ada lembaga pentadbir dan pengurusnya yang melibatkan sekumpulan orang dalam organisasi. Tetapi asas untuk sesebuah institusi kekeluargaan cuma dua orang: suami dan isteri. Merekalah pentadbir dan pengurus rumahtangga masing-masing.

Lalu, istilah 'institusi kekeluargaan' itu sepatutnya dapat memberi gambaran terhadap kepentingan peranan keluarga terhadap masyarakat. Semasa awal diperkenalkan dengan jemaah pun ada diterangkan, yang sesebuah negara Islam itu hanya mampu dibina dengan adanya komuniti masyarakat Muslim. Komuniti masyarakat Muslim pula wujud hasil kombinasi keluarga-keluarga Muslim. Keluarga Muslim pula dibentuk daripada para individu Muslim. Lihatlah betapa pentingnya peranan keluarga terhadap sesebuah negara.

[Individu Muslim > Keluarga Muslim > Masyarakat Muslim > Negara Islam]


Institusi yang porak-peranda

Namun, yang menjadi kebimbangan pada hari ini adalah berleluasanya kehancuran institusi penting ini. Hari ini saya terbaca tentang kadar perceraian di Malaysia yang sangat membimbangkan: purata 4 kes cerai setiap jam! (Rujuk sumber) Bermakna setiap 15 minit ada pasangan yang bercerai. Tidak banyakkah angka itu?

Saya membuat berbagai-bagai andaian mengenai punca perceraian. Terlalu banyak kisah yang sampai di pengetahuan saya. Ada yang diceritakan, ada yang dibaca, ada yang saya saksikan sendiri. Masalah kewangan antara yang banyak menjadi punca. Saya teringat subjek Isu-isu Kekeluargaan yang saya ambil semasa di tahun akhir dulu. Pensyarah saya memang menekankan mengenai masalah ini, sama ada kerana gaji yang tidak banyak, mahupun kerana selera berbelanja yang tinggi melampaui keperluan dan kemampuan.

'Ter'jumpa semula bekas kekasih lama pun sudah biasa terjadi. Cuma, edisi modennya adalah melalui Facebook. Ini menguatkan lagi keyakinan saya bahawa berpacaran (couple) sebelum nikah bukan sahaja tiada jaminan akan berpanjangan ke jinjang pelamin, tetapi boleh menjadi senjata pemusnah pada masa depan. Lebih parah jika perkenalan melalui Facebook atau medium lain di alam maya memutik cinta lalu menghancurkan rumahtangga sedia ada. Menyedihkan. Sadis.

Antara faktor lain yang menarik perhatian saya adalah perceraian disebabkan orang ketiga, yang mana titik mulanya adalah dalam program motivasi. Pelik bukan? Saya terbaca mengenai isu ini dalam sebuah artikel majalah Solusi isu #30, tajuknya Motivasi Dosa. Memang sentap. Isinya, banyak program motivasi, bina semangat, kerja kumpulan, kepimpinan dan yang sewaktu dengannya menggunakan modul yang diselitkan dengan unsur maksiat. Contohnya acara outdoor seperti rentas hutan, berkayak, memanjat bukit, bahkan acara kebudayaan seperti pentomen, drama dan tarian yang bercampur aduk pergaulan lelaki dan perempuan tanpa ada batasan. Memang ada kes perceraian yang berpunca daripada hal ini. Ini belum lagi mengenai pengabaian tanggungjawab, penderaan dan sebagainya. Fuhhhh~


Ya, saya takut

Takut dan bimbang. Entah bagaimana masa hadapan rumahtangga saya (walhal saya belum pun berumahtangga. Huhu~). Sering saya mendengar keluhan teman-teman yang bukan ahli jemaah mengenai betapa sukarnya mencari lelaki yang baik di zaman ini. Bahkan selalu saya dengar,

"Ada ke lagi lelaki yang baik?".

Oh, sampai begitu sekali. Selalu saya jawab dengan penuh yakin,

"Ada. Pasti ada."

Tetapi dalam hati sendiri turut rasa ragu. Sedangkan muslimin jemaah pun terlalu sedikit bilangan jika dinisbahkan dengan bilangan muslimat. Dan tak sedikit juga muslimat yang pada saya cukup serba serbi (jauh lebih baik dari saya, sudah tentu) tetapi masih belum punya calon sedang umur semakin bertambah. Semoga Allah permudahkan jodoh mereka semua dan ditemukan lelaki terbaik.

[Ahah, nampak seperti berat sebelah pula. Maaf, bukan meletakkan punca perceraian kepada lelaki. Saya cuma berkongsi situasi. Saya akui, banyak juga kes isteri yang curang (=.=')]

Saya sangat-sangat bersyukur dan bahagia dengan keluarga saya sekarang. Saya kagum dengan Umi dan Abah saya yang saling menjadi penguat antara satu sama lain walau bermacam-macam ujian dan dugaan datang. Saya kagum melihat setianya Umi mengurus dan menemani Abah, serta kasih dan prihatinnya Abah kepada Umi. Selalu Umi memuji Abah di hadapan saya, dan saya juga selalu mendengar pujian Abah terhadap Umi. Mungkin kerana ini, membuat saya lebih takut. Kerana saya sendiri belum pasti, lelaki bagaimana yang bakal menjadi suami. Sedang hati mengharap yang seperti Abah walau diri masih tak pasti mampu menjadi sebaik Umi.

Walau bagaimanapun, saya sedar. Saya sedar saya tak boleh terlalu memilih. Saya sedar saya juga punya banyak kelemahan. Dan yang utama, saya sedar semuanya dalam ketetapan Allah. Tugas saya hanya tidak putus memohon yang terbaik, dan meletakkan sepenuh pergantungan dan pengharapan kepada Allah. Saya berserah, dan saya bertawakal kepada Allah :)

Wallahua'lam

P/S: Saya terbaca satu artikel mengenai Suami Muslim yang Ideal. Sejuk hati membacanya =P Walaupun artikel tersebut memfokuskan suami, tetapi ada juga beberapa aspek yang boleh diaplikasi sebagai isteri. Renung-renungkan dan selamat beramal =)

No comments:

Post a Comment