Tuesday, May 3, 2011

Kematian itu terasa begitu dekat~

Bismillahirrahmanirrahim

Nampaknya entri ini mendahului entri saya mengenai pengalaman bertugas sambilan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Entri ini tidak saya rancang, tetapi saya tergerak untuk menitipkan sesuatu selepas mendapat khabar kematian sebentar tadi.

Cuba bayangkan, anda seorang mahasiswa universiti. Dalam satu kuliah di awal semester, seorang pensyarah mengingatkan para penuntut supaya sentiasa bersedia kerana kuiz akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja, secara mengejut tanpa notis awal. Mungkin awal semester, tengah semester atau di hujung semester. Penuntut yang sejak awal semester sentiasa mengikuti kuliah, membuat ulangkaji dan menyiapkan semua tugasan dengan baik, pasti tidak menghadapi masalah semasa menjawab soalan kuiz mengejut tersebut. Bagi penuntut yang tidak bersedia sejak awal, dan bersikap sambil lewa terhadap kuliah sebelumnya, mahu menggelabah dan berpeluh-peluh dengan soalan kuiz itu.

Mungkin boleh saya analogikan kematian dengan situasi di atas. Sejauh mana kita bersedia menghadapi kematian sedangkan kematian itu tidak mengenal umur. Allahuakbar. Terasa diri penuh dengan dosa. Apakah cukup amal baikku sebagai pemberat timbangan di akhirat kelak? Ayuh muhasabah diri.

Tadi, semasa melayari Facebook, saya terbaca status Muhammad Arrabe' berkenaan laporan berita di TV9 mengenai seorang graduan UKM bernama Ratna mati ditikam kerana menolak pinangan seorang lelaki. Terus saya teringat kepada seseorang bernama Ratna yang saya kenali semasa di UKM dulu. Ratna yang saya kenali, mahasiswi jurusan Sains Nuklear. Kami berkenalan dalam program Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST). Kami bertambah akrab semasa mengendalikan Pameran Pesta Konvokesyen 2007. Saya sebagai Ketua Pengarah dan Ratna sebagai AJK di bawah saya. Beliau sangat baik, ramah, ringan tulang dan suka membantu. Ratna juga comel orangnya.

Saya membuat sedikit carian di Facebook dan terjumpa FB beliau. Sahih, Ratna yang saya kenal itu yang disebutkan dalam berita tersebut. Saya sedih dan terkejut. Saya masih boleh ingat suara dan wajahnya yang selalu tersenyum. Beberapa bulan kebelakangan, saya sering mendapat khabar kematian orang-orang yang masih muda, lebih kurang baya saya sahaja umur mereka. Dan setiap kali saya mendengar khabar begini, saya terasa kematian begitu dekat dengan saya. Boleh sahaja kematian itu tak perlu tunggu sehingga umur sudah tua. Cuma, sudahkah saya bersedia andai kematian menjemput saat usia masih muda? Benarlah, kematian itu perlu dirancang supaya bahagia sesudah mati. Dzikrul maut T_T

Al-Fatihah untuk almarhumah adik Ratna Sufizzah Riyanti Omar. Adik akan tetap dalam ingatan akak. Semoga roh adik tenteram di sana dan dicucuri rahmat Allah. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, insyaAllah.

P/S: Kes ini yang kedua yang pada pengetahuan saya melibatkan bekas penuntut UKM. Beberapa tahun dulu, (zaman Abang Habibullah - lebih kurang 3 tahun sebelum saya masuk UKM) juga ada kes seorang wanita yang baru bergraduasi mati ditikam kerana menolak lamaran seorang lelaki yang juga graduan UKM (kenalan Abang Habib). Kes begini memang menakutkan orang perempuan seperti saya. Lelaki macam ni memang psiko. Huhu~

No comments:

Post a Comment