Friday, May 13, 2011

Hujung minggu bersama keluarga ^_^

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kepada Tuan Empunya segala isi dunia atas nikmat-nikmat yang tak terhitung banyaknya. Pagi tadi, saya telah menyelesaikan pembentangan cadangan kajian untuk projek program siswazah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan izin Allah. Sebelum saya sambung entri mengenai PBAKL (dah berapa minggu berlalu daaaa~), entri kali ini saya mahu titipkan sedikit mengenai hujung minggu saya yang lepas (huh? dah nak masuk hujung minggu satu lagi pun =.=')

Hujung minggu yang lalu, selepas tak tertahan lagi menanggung stress terperap seorang diri di hostel selama seminggu, saya pun membuat keputusan untuk melepaskan segala kebuntuan dan keserabutan dengan pulang menghadap wajah Umi, Abah dan adik-adik. Alhamdulillah, hujung minggu yang sangat bermakna.

Pertama kali dalam hidup, Abah bagi lampu hijau untuk pandu kereta jauh-jauh secara solo. Selama ni, jarak pemanduan saya cuma terhad di sekitar Klang sahaja (menggunakan Kelisa di rumah). Sebelum ini saya pernah beberapa kali memandu untuk jarak jauh (shhhh~ rahsia!) tetapi belum pernah lagi secara solo. Pukul 6.40 pagi saya dah bertolak ke Bangi untuk menghadiri kelas Tahsin Al-Quran anjuran Nisa' Serdang. Alhamdulillah, tiada masalah dalam perjalanan dan saya berjaya meyakinkan Umi dan Abah bahawa saya mampu memandu sendiri untuk jarak jauh. 7.30 pagi saya tiba di Bandar Baru Bangi.

Kelas pengenalan Tahsin Quran dimulakan oleh Ustazah Nawiyah. Banyak ibrah yang boleh diambil daripada pengalaman beliau. Antara kata-kata beliau yang cukup terkesan adalah kata-kata beliau bahawa sesungguhnya Allah telah menjanjikan rezeki kepada hambaNya (telah tertulis di Luh Mahfuz) tetapi Iman itu tidak dijamin oleh Allah, sedang manusia hanya sibuk mencari rezeki tetapi tidak mahu mencari Iman, terus-terusan bekerja tanpa mahu sibuk mengenal Tuhan. Allahuakbar! Betapa lalainya manusia daripada mengingati Allah dalam kesibukan duniawi.

Selain itu, saya dapat buat kesimpulan daripada pengalaman Ustazah, bahawa jodoh seorang wanita itu tak semestinya lelaki yang mempunyai tahap kefahaman Islam yang sama, walaupun hakikatnya seorang muslimah pasti mengharapkan suami yang lebih hebat ilmunya berbanding dirinya sendiri kerana peranan suami sebagai pembimbing isteri. Contohnya Ustazah sendiri, yang merupakan lulusan bidang agama dan mengajar ilmu agama pula, berjodoh dengan seorang lelaki daripada bidang sains, tetapi kurang sedikit ilmu agamanya. Ustazah sendiri yang membimbing suaminya. Asal sahaja kena pada gayanya, insyaAllah pasti boleh =)

Selesai kelas Tahsin, saya ke rumah Kak Sarah bersama-sama Aisyah untuk menziarahi beliau yang baru menjalani pembedahan membuang keempat-empat gigi bongsunya. Kemudian saya terus memandu pulang ke Klang dan tiba sekitar pukul 1.50 petang.

Malam itu, kami adik beradik (khususnya saya, Tiyah dan Along) merancang membuat kejutan kepada Umi dan Abah. Kami merancang untuk belanja mereka makan di luar bersempena Hari Ibu dan juga ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-28. Jauh juga makan malam kami pada malam itu, sampai ke Pulau Indah. Kami ke Muara Ikan Bakar yang tempatnya berhampiran jeti. Alhamdulillah sangat berpuas hati dengan harga yang agak murah untuk hidangan makanan laut segar seperti ikan pari, ikan siakap dan udang. Kami pulang dengan perut 'ke hadapan'. Muara Ikan Bakar sesungguhnya telah menawan hati kami sekeluarga. Cuma tempatnya yang agak jauh, jadi mungkin tak dapat kami ke sana selalu. Huhuhu~

Tetapi yang lebih terkesan di hati saya adalah kata-kata nasihat ibu saya mengenai jodoh dan perkahwinan (hai, asyik sahaja tentang jodoh. Huhu~). Biasalah ibu, sampai usia macam saya ni, selalu sahaja ditanya hal ini. Walaupun sebolehnya saya cuba elak, tapi kadang-kadang seronok juga mendengar nasihat orang yang lebih dulu makan garam.

Umi mengulas beberapa masalah rumahtangga yang biasa berlaku. Saya katakan, saya takut mahu berumahtangga. Lalu dengan penuh kelembutan dan tutur kata yang tersusun, Umi menghilangkan kegusaran hati saya selama ini. Kata Umi, bernikah ini akan membantu menyelesaikan banyak masalah yang tak akan mampu diselesaikan secara berseorangan. Memang, bernikah mungkin berisiko untuk mempunyai masalah dengan pasangan dan keluarga, tetapi kalau terus membujang tak bermakna tidak akan ada masalah. Kerana memang lumrah hidup manusia akan selalu didatangi masalah. Kita tak akan dapat lari daripada dugaan yang menguji diri. Tetapi berpeganglah dengan firman Allah bahawa Allah sekali-kali tidak akan menguji hambaNya sesuatu yang tidak mampu untuk dipikul oleh hambaNya itu. Allahuakbar. Seperti disiram air telaga yang sejuk, hati saya menjadi tenteram dengan pesan Umi.

Saya lanjutkan persoalan. Kata orang, perkahwinan adalah perjudian. Hampir sahaja saya beriman dengan ayat ini. Lalu Umi menafikan. Kata Umi, kalau sebelum bernikah kedua-dua bakal suami isteri telah mempersiapkan diri dengan ilmu khususnya ilmu agama, mana mungkin jadi perjudian. Setiap tindak-tanduk dan keputusan sepanjang hidup bersama harus didasari ilmu, barulah teratur hidup berkeluarga.

Terima kasih Umi kerana menjawab segala persoalan yang menyempitkan fikiran saya selama ini. Kalau tidak kerana aktiviti berbual-bual semasa di dapur, mungkin saya masih lagi dengan fikiran sempit saya itu. Sungguh, tak rugi berbincang topik ini dengan Umi. Baru saya sedar, masih banyak khazanah ilmu kehidupan yang belum saya pelajari daripada Umi. Umi, tetap menjadi guru nombor satu di hati saya, selama-lamanya InsyaAllah. Saya saaaayang Umi =]

No comments:

Post a Comment